Search This Blog

Friday, August 6, 2010

Gelas Globe Silk Store


Dulu-dulu kalau mak-mak kita nak gi rombongan ke Kuala Lumpur, Globe Silk Store mesti ada dalam List lawatan. Ingat lagi, bangun pagi-pagi Kak Long dan Mak masak sambal telur buat bekal. Lepas habis melawati Muzium Negara, Zoo Negara, Tugu Negara dan Bangunan Parlimen, Globe destinasi terakhir peserta rombongan mencuci mata. Ada diantara mereka yang membawa duit lebih, sempat lah membeli pakaian sehelai dua. Mana yang tak berkemampuan, hanya melihat sahaja. Maklum saja pada 1985, peneroka rancangan Felda tidak semewah hari ini.
Namun aku tertanya, kemana hilangnya kegemilangan dan kemeriahan Globe Silk Store pada hari ini. Bila aku    berada di Kuala Lumpur, sedaya upaya aku ke bangunan ini untuk mengingati memori rombongan dahulu. Ternyata ia tidak semegah dahulu.

Kisah-kisah Globe Silk Store

PUTRAJAYA, 25 Mei — Mahkamah Rayuan hari ini memberi tempoh sehingga Khamis ini untuk bekas pemilik gedung membeli-belah, Globe Silk Store, Tan Sri Kishu Tirathrai dan keluarganya membayar denda RM200,000 kerana menghina mahkamah atau berdepan dengan hukuman penjara tiga bulan.

Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin, yang mengetuai panel tiga hakim, membenarkan rayuan keluarga itu untuk mengenepikan hukuman penjara tiga bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menggantikan dengan denda RM50,000 setiap orang atau hukuman penjara tiga bulan.
Kishu, 69, isterinya Puan Sri Mona Kishu, 67 dan dua anak lelaki mereka — Vinod, 40, dan Bushan, 37, dikenakan hukuman penjara tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Julai, 2007, kerana campur tangan dan menghalang perintah penjualan bangunan membeli-belah itu.

Abu Samah dan Hakim Datuk Ramly Ali dan Datuk Mohamed Apandi Ali, bagaimanapun, membenarkan permohonan untuk menangguhkan perintah itu sehingga pukul 3 petang pada Khamis ini. Peguam keluarga Kishu, T. Gunaseelan, memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan perintah itu untuk seminggu bagi membolehkan mereka mendapatkan jumlah wang itu.

Katanya Kishu dan isteri diisytiharkan muflis manakala kedua-dua anak lelaki mereka turut mengalami nasib yang sama tetapi mendapat perintah mahkamah untuk menangguhkan perintah muflis tersebut. Peguam Bank HSBC, Benjamin Dawson, berkata pihaknya tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan keluarga itu untuk menangguhkan perintah itu. Terdahulu itu, Gunaseelan memberitahu mahkamah anak guamnya memohon maaf dan tidak mahu meneruskan rayuan terhadap sabitan tetapi sebaliknya hanya mahu memohon kepada mahkamah untuk mengenepikan hukuman penjara.

Dawson berkata pihak bank tidak akan mendesak untuk hukuman penjara terhadap empat ahli keluarga itu jika mereka insaf, bertaubat dan memohon maaf serta tidak meneruskan dengan rayuan tersebut. Keempat-empat mereka kini bebas dengan jaminan RM10,000 setiap orang dengan seorang penjamin sementara menunggu penyelesaian kes rayuan itu.

Globe Silk Store, yang diasaskan pada 1930, telah mendirikan bangunan 12 tingkat di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, pada 1977. Bank HSBC telah memulakan prosiding menghina mahkamah pada 2004 terhadap syarikat keluarga itu, Tiratharai Sdn Bhd dan empat pengarahnya apabila mereka ingkar perintah mahkamah dengan meletakkan empat kaveat, satu cubaan injunksi dan dua perintah injunksi ‘‘ex-parte’’ ke atas bangunan Globe Silk Store. Kaveat dan perintah menghalang itu semuanya berkuatkuasa dalam masa beberapa hari selepas cadangan lelong oleh bank berkenaan, menyebabkan proses lelong ditangguhkan sebanyak empat kali. —

Posted by JAMILKUCING at 10:27 PM


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...